Kisah Kejayaan di Sebalik Jenama Al-Ikhsan Sport.

Sibuk? Share dulu artikel ini:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Dulu Tuan Haji Ali Hassan Mohd Hassan hanya berniaga untuk menampung kos pengajian saja. Dengan modal RM50, beliau mula berniaga kepada rakan-rakan dan pensyarah di tempat beliau belajar iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. 

Kini, Al-Ikhsan Sport adalah  pengedar rasmi bagi kelab Liverpool FC di Malaysia. Malah merupakan syarikat penyedia kelengkapan sukan yang terlibat dengan arena sukan dunia termasuklah Liga Bola Sepak England, Piala Eropah (Euro), Sukan Olimpik Beijing dan juga Piala Dunia FIFA 2010!

Latar belakang pengasas Al-Ikhsan.

Tuan Haji Ali Hassan Mohd Hassan iaitu Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) merupakan anak bongsu daripada 8 adik-beradik. Beliau adalah anak kelahiran Johor. Mendapat pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada pada tahun 1993.

Semasa belajar di UTM, beliau berusaha mencari pendapatan untuk menampung pengajiannya. Bukan saja berniaga barangan sukan, beliau juga pernah bekerja sambilan sebagai penghantar piza.

Selepas tamat belajar pada tahun 1993, pengasas Al-Ikhsan ini mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi beliau menolaknya. Malah membuka langkah berani untuk berniaga barangan sukan dengan menyewa ruangan kecil di Holiday Plaza, Johor Bahru.  

Kiosk pertamanya seluas 100 kaki persegi sahaja dan semuanya dilakukan sendiri tanpa pekerja.

Pada masa itu, premis Al-Ikhsan hanya menjual baju t-shirt seperti peniaga lain. Tapi beliau sudah bercita-cita untuk bersaing dengan jenama besar dan menembus pasaran antarabangsa. 

Beliau mula mengumpul modal dari hasil perniagaan untuk terus membesarkan Al-Ikhsan. Kemudian beliau mula menyewa sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah. 

Al-Ikhsan mula berkembang hari demi hari. Dari syarikat milikan tunggal, mula berkembang kepada sebuah syarikat sendirian berhad. Kini terdapat 114 butik Al-Ikhsan di seluruh negara. 

Al-Ikhsan juga telah menerima anugerah Perniagaan Cemerlang Asean pada tahun 2011. Malah syarikat bumiputera ini antara pemenang acara berprestij iaitu Brand Of The Year pada tahun 2019 di Istana Kensington, London.

Cabaran dalam perniagaan.

Setiap orang pasti menghadapi cabaran dalam mengembangkan perniagaan. Al-Ikhsan juga pernah menghadapinya. 

Beliau pernah memohon pinjaman untuk mengembangkan perniagaannya, tapi ditolak. Sebabkan itulah beliau berniaga menggunakan apa yang ada sahaja.

Setakat 2012, Lapan (8) buah kedai Al-Ikhsan telah dirompak, iaitu selepas beliau menerima anugerah Perniagaan Cemerlang Asean. Pada akhir tahun 2011, 3 buah kedainya dirompak pada bulan yang sama. Disyaki perkara itu adalah perbuatan sabotaj dari orang dalam Al-Ikhsan sendiri. 

Semua itu tidak melemahkan semangat beliau. Tuan Haji Ali Hassan lebih aktif untuk mengembangkan perniagaannya agar tidak terkalah oleh pesaing.

Rahsia kejayaan.

1. Utamakan ibu dalam segala hal.

Utamakan ibu merupakan rahsia terbesar beliau. Setiap pembukaan cawangan baru, ibunya akan menjadi VIP terhormat yang akan merasmikannya. Biarpun dalam majlis tersebut ada Menteri Besar yang hadir. 

2. Menjaga solat.

Semasa berumur 17 tahun, beliau pernah dihalau oleh bapanya kerana asyik bermain bola hingga melewatkan solat. Begitu solat dititikberatkan oleh ibu bapanya.

Hari ini, beliau mewajibkan pekerjanya untuk solat berjemaah di surau pejabatnya. Waktu Dhuha sekalipun pekerjanya digalakkan untuk lakukannya bila jam 9 pagi. Waktu Zuhur pula, semua pekerja wajib turun ke surau untuk berjemaah. 

3. Menjaga niat, sabar dan bersungguh-sungguh.

Beliau juga menekankan untuk menjaga niat dalam berniaga. Betulkan niat dan fokus hingga berjaya. Jika belum dapat hasil, fokus dan berusaha menjayakan perniagaan.

Setiap kejayaan datang bersama cabaran. Jadi bersabarlah dengan ujian kerana kejayaan pasti ada. Walaupun kedai diroampak, beliau tidak gentar. Berusaha dengan lebih lagi dan secara tak langsung akan menutup kerugian tersebut.

Beliau juga menitikberatkan cadangan dan maklum balas dari pelanggan. Apa sahaja cadangan yang boleh menaikkan perniagaannya, beliau akan mengambil serius perkara itu.

Kejayaan

Kini Al-Ikhsan telah mempunyai 114 buah butik di seluruh negara. Al-Ikhsan juga telah membuka kedai sukan untuk wanita yang dikenali sebagai Al-Ikhsan Sport Girl. Antara jenama popular yang dijual ialah Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto dan Diadora.

Al-Ikhsan juga mula mengeluarkan jenamanya sendiri iaitu dikenali dengan akronim “AL”. 

Pernah menaja beberapa pasukan Liga Super Malaysia. Sporting Good Intelligence pernah melaporkan bahawa Al-Ikhsan berada pada tangga ke 63 dalam Al-Ikhsan Sporting Goods Retailer in The Galaxy pada tahun 2018.

Premis Al-Ikhsan telah mengadakan “Program Pendidikan Keusahawanan (INSPIRE) Bersama Al-Ikhsan Sport” secara percuma. Program ini bagi mendedahkan tentang perniagaan kepada warga sekolah. Ia adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporat di institusi atau organisasi selama 2 jam kepada pelajar SMA Bukit Ibam.

Pada tahun 2020, syarikat bergerak pantas dengan membuka e-dagang untuk memudahkan pelanggan membeli barangan Al-Ikhsan hanya dari rumah.

Dari kisah kejayaan Al-Ikhsan ini, dapat kita ambil pengajaran tentang banyak perkara. Semua rahsia dah sedia maklum oleh semua orang iaitu mengutamakan ibu bapa, menjaga solat, jaga niat, fokus, berusaha bersungguh-sungguh. Semua orang dah tahu rahsia ini. Cuma tak ramai yang benar-benar praktikkan. 

Bantu saya share artikel ni boleh? Sebaik-baik manusia adalah mereka yang menyebarkan manfaat... 😉

Facebook
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Artikel lain yang anda perlu baca: